Sifat marah cermin jiwa tidak tenteram
Kita dituntut bersabar
supaya dijauhi daripada ‘rasukan’ kemarahan. Sifat marah yang
datang daripada hati mempunyai kaitan dengan keimanan seseorang. Orang sabar
dapat menahan kemarahan dalam saat genting dan sudah tentu mendapat ganjaran di
sisi-Nya.
Daripada Abdullah bin
Umar, Rasulullah bersabda yang bermaksud:
“Tiada hamba yang
meneguk air lalu mendapat ganjaran lebih besar di sisi Allah daripada hamba
yang meneguk air menahan kemarahan kerana Allah.” (Hadis riwayat Ibn Majah)
Sabda Rasulullah yang bermaksud:
“Bukanlah orang gagah itu, orang kuat bertinju. Akan
tetapi orang yang gagah adalah orang yang dapat mengawal diri ketika marah.”
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Marah boleh
merenggangkan hubungan kekeluargaan, begitu juga hubungan persahabatan dan
kejiranan kerana perasaan marah menyebabkan kita susah melihat kebaikan orang
lain serta hilang sifat lemah-lembut.
Sedangkan kita tahu
Allah menyukai sifat lemah-lembut. Daripada Aisyah, Rasulullah bersabda yang
bermaksud:
“Sesungguhnya Allah menyukai sifat lemah-lembut dalam
setiap perkara.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Mengambil wuduk dan
beristighfar dapat mengawal sifat marah. Segala-galanya dapat meruntuhkan tipu
daya iblis dan menghancurkan kesesatan yang disuruhnya. Selain itu, memberi
penawar hati yang marah dan gundah, sesungguhnya hati tunduk kepada Allah.
Sifat marah juga
adalah cerminan kalbu keperibadian jiwa yang tidak tenteram. Oleh itu, kawal
jiwa kerohanian supaya hidup sentiasa tenteram, aman dan damai sepanjang masa.
Rasulullah
SAW bersabda yang bermaksud:
“Sifat bodoh atau jahil itu pokoknya ialah watak kedegilan
yang dipimpin oleh sifat marah. Sesiapa juga yang dirinya redha dalam keadaan
jahil atau bodoh, maka baginya tidak perlu lagi bersifat toleransi kerani
toleransi adalah sifat yang baik dan banyak manfaatnya. Kejahilan pula sifat
buruk dan mendatangkan banyak mudarat. Oleh itu, lebih baik berdiam diri
daripada melayani pertanyaan orang bodoh.”
Khaitamah
bin Abdul Rahman, seorang ulama tab’in menerangkan bahawa syaitan berkata,
“Bagaimana anak Adam dapat mengalahkan aku? Apabila dia
rela, nescaya aku datang dan meresap ke dalam hatinya. Apabila dia marah,
nescaya aku terbang sehingga berada di atas kepalanya.”
Mujahid menceritakan
bahawa iblis atau syaitan itu berkata,
“Aku tidak dapat dilemahkan oleh anak
Adam pada tiga perkara:
·
Apabila seseorang itu
mabuk, kami pun pegang talinya lalu kami halau ke mana yang kami kehendaki. Dia
bekerja untuk kami menurut apa yang kami sukai.
·
Apabila orang itu
marah, dia akan berkata apa yang tidak diketahuinya dan melakukan sesuatu
perkara yang disesalinya.
·
Dia seorang yang lokek
terhadap apa juga miliknya dan berangan-angan dengan sesuatu yang ia tidak
mampu
Sementara itu,
Abdullah bin Mas’ud berkata,
“Perhatikan sifat lemah-lembut seseorang ketika marah dan
perhatikan sifat amanahnya ketika dia rakus! Pengajaran yang diperoleh daripada
sifat lemah-lembutnya apabila dia tidak marah dan dengan sifat amanahnya
apabila dia tidak rakus.”
Diceritakan, Khalifah
Umar Abdul Aziz menulis surat kepada wakilnya,
“Anda tidak (harus) menjatuhkan hukuman ke atas seseorang
ketika anda marah. Tahanlah orang itu dulu dan apabila perasaan marah itu sudah
tenang, maka keluarkan orang itu dan jatuhkan hukuman mengikut dosanya (kesalahannya)
dan anda tidak menghukum lebih daripada lima belas kali sebat.”
Saidina
Umar Al-Khattab dalam pidatonya selalu berkata,
“Orang yang beroleh kemenangan ialah orang yang mengawal
dirinya daripada kerakusan, hawa nafsu dan kemarahan.”
Abdullah al-Mubarak
ketika menjawab pertanyaan supaya memberikan kesimpulan mengenai pengertian
budi pekerti berkata,
“Meninggalkan marah.”
Wahab bin Muhaib
berkata,
“Kufur itu terdiri daripada empat faktor iaitu marah,
nafsu syahwat, bodoh dan tamak.”
Kesimpulannya, dalam
apa juga keadaan dan situasi, kita sebagai umat Islam mestilah dapat mengawal
sifat marah yang boleh merosakkan sesuatu.
Comments
Post a Comment