10 Petanda Dia Jodoh Kita..
Jodoh adalah perkara yang
sudah ditetapkan oleh Allah yang maha Esa. Tetapi bagaimana kita mengetahui dia
memang ditakdirkan untuk kita? Allah SWT mengurniakan manusia telinga untuk
mendengar, mata untuk melihat dan akal untuk berfikir. Jadi gunakan
sebaik-baiknya bagi mengungkapkan rahsia cinta yang ditakdirkan. Dua manusia
yang rasa mereka dapat hidup bersama dan memang dijodohkan pasti memiliki
ikatan emosi , spiritual dan fizikal antara keduanya. Apabila bersama,
masing-masing dapat merasai kemanisan cinta dan saling memerlukan antara satu
sama lain. Lalu gerak hati mengatakan, dialah insan yang ditakdirkan untuk
bersama. Benarkah ia seperti yang diperkatakan?
Berikut adalah 10 petanda
yang menunjukkan dia adalah jodoh kita :
1. Bersahaja
Kekasih kita itu bersikap
bersahaja dan tidak berlakon. Cuba perhatikan cara dia berpakaian, cara
percakapan, cara ketawa serta cara makan dan minum. Adakah ia spontan dan tidak
dikawal ataupun kelihatan pelik. Kalau ia nampak kurang selesa dengan gayanya,
sah dia sedang berlakon. Kadang-kadang, kita dapat mengesan yang dia sedang
berlakon. Tetapi, apabila dia tampil bersahaja dan tidak dibuat-buat, maka dia
adalah calon hidup kita yang sesuai. Jika tidak, dia mungkin bukan jodoh kita.
2. Senang Bersama
Walaupun kita selalu
bersamanya, tidak ada sedikit pun perasaan bosan, jemu ataupun tertekan pada
diri kita. Semakin hari semakin sayang kepadanya. Kita sentiasa tenang, gembira
dan dia menjadi pengubat kedukaan kita. Dia juga merasainya. Rasa senang sekali
apabila bersama. Apabila berjauhan, terasa sedikit tekanan dan rasa ingin
berjumpa dengannya. Tidak kira siang ataupun malam, ketiadaannya terasa sedikit
kehilangan.
3. Terima Kita Seadanya
Apapun kisah silam yang
pernah kita lakukan, dia tidak ambil peduli. Mungkin dia tahu perpisahan dengan
bekas kekasihnya sebelum ini kita yang mulakan. Dia juga tidak mengambil kisah
siapa kita sebelum ini. Yang penting, siapa kita sekarang. Biarpun dia tahu
yang kita pernah mempunyai kekasih sebelumnya, dia tidak ambil hati langsung.
Yang dia tahu, kita adalah miliknya kini. Dia juga sedia berkongsi kisah
silamnya. Tidak perlu menyimpan rahsia apabila dia sudah bersedia menjadi
pasangan hidup kita.
4. Sentiasa Jujur
Dia tidak kisah apa yang
kita lakukan asalkan tidak menyalahi hukum hakam agama. Sikap jujur yang
dipamerkan menarik hati kita. Kejujuran bukan perkara yang boleh dilakonkan.
Kita dapat mengesyaki sesuatu apabila dia menipu kita. Selagi kejujuran
bertakhta di hatinya, kebahagiaan menjadi milik kita. Apabila berjauhan,
kejujuran menjadi faktor paling penting bagi suatu hubungan. Apabila dia tidak
jujur, sukar baginya mengelak daripada berlaku curang kepada kita. Apabila dia
jujur, semakin hangat lagi hubungan cinta kita. Kejujuran yang disulami dengan
kesetiaan membuahkan percintaan yang sejati. Jadi, dialah sebaik-baik pilihan.
5. Percaya Mempercayai
Setiap orang mempunyai
rahsia tersendiri. Adakalanya rahsia ini perlu dikongsi supaya dapat
mengurangkan beban yang ditanggung. Apabila kita mempunyai rahsia dan ingin
memberitahu kekasih, adakah rahsia kita selamat di tangannya? Bagi mereka yang
berjodoh, sifat saling percaya mempercayai antara satu sama lain timbul dari
dalam hati nurani mereka. Mereka rasa selamat apabila memberitahu rahsia-rahsia
kepada kekasihnya berbanding rakan-rakan yang lain. Satu lagi, kita tidak
berahsia apa pun kepadanya dan kita pasti rahsia kita selamat. Bukti cinta
sejati adalah melalui kepercayaan dan kejujuran. Bahagialah individu yang
memperoleh kedua-duanya.
6. Senang Bekerjasama
Bagi kita yang inginkan
hubungan cinta berjaya dan kekal dalam jangka masa yang panjang, kita dan dia
perlu saling bekerjasama melalui hidup ini. Kita dan kekasih perlu memberi
kerjasama melakukan suatu perkara sama ada perkara remeh ataupun sukar. Segala
kerja yang dilakukan perlulah ikhlas bagi membantu pasangan dan meringankan
tugas masing-masing. Perkara paling penting, kita dan dia dapat melalui semua
ini dengan melakukannya bersama-sama. Kita dan dia juga dapat melakukan
semuanya tanpa memerlukan orang lain dan kita senang melakukannya bersama. Ini
penting kerana ia mempengaruhi kehidupan kita pada masa hadapan. Jika tiada
kerjasama, sukar bagi kita hidup bersamanya. Ini kerana, kita yang memikul
beban tanggungjawab seratus peratus. Bukankah ini menyusahkan?
7. Memahami Diri Kita
Bagi pasangan yang
berjodoh, dia mestilah memahami diri pasangannya. Semasa kita sakit dia bawa ke
klinik. Semasa kita berduka, dia menjadi penghibur. Apabila kita mengalami
kesusahan, dia menjadi pembantu. Di kala kita sedang berleter, dia menjadi
pendengar. Dia selalu bersama kita dalam sebarang situasi. Tidak kira kita
sedang gembira ataupun berduka, dia sentiasa ada untuk kita. Dia juga bersedia
mengalami pasang surut dalam percintaan. Kata orang, "lidah sendiri lagikan
tergigit", inikan pula suami isteri'. Pepatah ini juga sesuai bagi
pasangan kekasih. Apabila dia sentiasa bersama kita melalui hidup ini di kala
suka dan duka, di saat senang dan susah, dialah calon yang sesuai menjadi
pasangan hidup kita.
8. Tampilkan Kelemahan
Tiada siapa yang sempurna
di dunia ini. Tipulah jika ada orang yang mengaku dia insan yang sempurna
daripada segala sudut. Pasti di kalangan kita memiliki kelemahan dan keburukan
tertentu. Bagi dia yang bersedia menjadi teman hidup kita, dia tidak terlalu
menyimpan rahsia kelemahannya dan bersedia memberitahu kita. Sudah tentu bukan
senang untuk memberitahu dan mengakui kelemahan di hadapan kekasihnya. Malah,
dia tidak segan mempamerkan keburukannya kepada kita. Misalnya, apabila dia
bangun tidur ataupun sakit dan tidak mandi dua hari, dia tidak menghalang kita
daripada melawatnya.Apabila kita dan dia saling menerima kelemahan dan sifat
buruk masing-masing, memang ditakdirkan kita hidup bersamanya.
9. Kata Hati
Dengarlah kata hati.
Kadangkala, manusia dikurniakan Allah deria keenam yang dapat mengetahui dan
memahami perasaan pasangannya. Dengan deria batin ini juga kita dapat saling
tahu perasaan masing-masing. Kita dan dia juga dapat membaca fikiran antara satu
sama lain dan dapat menduga reaksi dan tindakbalas pada situasi tertentu.
Apabila kita yakin dengan pilihan hidup kita, tanyalah sekali lagi. Adakah dia
ditakdirkan untuk kita? Dengarlah kata hati dan buatlah pilihan. Serahlah
segalanya pada ketentuan yang maha berkuasa.
10. Solat Istikharah dan Tawakkal
Jodoh dan pertemuan
semuanya di tangan Allah SWT. Manusia hanya perancang di pentas dunia ini dan
skripnya ditulis oleh yang maha esa. Adakalanya, dalam memainkan peranan
sebagai pelakon, diberi petunjuk melalui mimpi atau gerak hati. Mimpi memang
mainan tidur, tetapi apabila kita melakukan sembahyang Istikharah dan memohon
supaya Allah memberikan petunjuk, insya-Allah dengan izinnya kita mendapat
petunjukNya. Jika dia pilihan kita, buatlah keputusan sebaiknya. Jika tidak,
tolaklah dia dengan baik. Semua yang kita lakukan ini adalah bagi mendapatkan
kebahagiaan hidup di dunia. Setelah semuanya diusahakan, berserahlah kepadaNya
dan terus berdoa. Ingatlah, nikmat di dunia ini hanya sementara.Nikmat di akhirat
adalah kekal selamanya
Comments
Post a Comment