Gajet idaman terhebat

MEMILIKI gajet sememangnya menjadi idaman kepada kita. Maka tidak hairan gajet-gajet seperti telefon pintar, permainan konsol, pemain multimedia, pemain MP3, televisyen LCD dan sebagainya sentiasa laris apabila diperkenalkan di pasaran.
Bagaimanapun, manusia tidak pernah puas. Gajet-gajet biasa atau kecil sedemikian mungkin tidak mampu memuaskan mereka yang bercita-cita besar yang inginkan gajet hebat yang sebelum ini hanya dapat dilihat dalam televisyen.
Berikut ialah beberapa gajet hebat yang dicipta tahun ini dan juga sebelumnya tetapi kecanggihannya sememangnya akan mengkagumkan sesiapa sahaja yang melihatnya.
Sayap berkuasa jet
Keinginan manusia untuk terbang seperti burung sememangnya telah bermula sejak awal tamadun manusia lagi. Maka tidak hairanlah antara ciptaan terawal masa dahulu ialah sayap yang diperbuat daripada pelbagai bahan termasuk bulu ayam bertujuan menerbangkan manusia.
Tetapi semuanya gagal dan kenderaan seperti kapal terbang dan helikopter menjadi pilihan manusia untuk membantu mereka bergerak dari satu tempat ke satu tempat dengan cepat.
Tetapi usaha mencipta sayap-sayap untuk membolehkan manusia terbang tidak pernah pupus. Kejayaan terbaru untuk ciptaan tersebut adalah sayap berkuasa jet yang diginakan oleh Yves Rossy dari Switzerland mampu terbang di angkasa sejak dua tahun lepas.
Rossy yang dikenali juga sebagai Jetman atau FusionMan sebelum ini juga telah berjaya terbang menyeberangi Selat Inggeris dan satu lagi rekod berjaya dicatat bulan lepas apabila beliau berjaya membuat penerbangan secara berpusing bergelung selama dua pusingan.
Dalam aksinya bulan lepas, Rossy, 51, terjun dari belon udara pada ketinggian 2,400 meter berhampiran Tasik Geneva dan kemudiannya terbang dan membuat dua pusingan di udara sebelum mendarat menggunakan payung terjun.
Bagaimanapun, anda mungkin hanya boleh mengimpikan sayap terbang ini kerana setakat ini Rossy tidak bercadang menjualnya.
Kereta menjadi kapal terbang
Satu lagi gajet terhebat yang dicipta setakat ini dan menjadi idaman kepada mereka yang gilakan sesuatu yang pelik ialah kereta yang boleh bertukar menjadi kapal terbang.
Tentu ramai daripada kita terutama yang tinggal di Kuala Lumpur inginkan kereta yang seumpama itu terutama apabila sedang berhadapan dengan kesesakan yang teruk.
Ia sudah tentu akan melelehkan air liur kepada sesiapa sahaja yang melihat kereta anda terbang ke udara dan kakitangan di Terrafugia telah membangunkan kereta itu sejak 2006 lagi.
Tahun ini menjadi rekod kepada pembangunan kenderaan darat udara dikenali sebagai Transition itu apabila telah mendapat kelulusan daripada Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA), Amerika Syarikat sebagai salah sebuah pesawat yang boleh terbang di udara.
Transition boleh terbang dengan kelajuan 93 knot (169 kilometer sejam) dan menggunakan lima gelen minyak untuk perjalanan selama sejam. Di darat, sayap kepada kenderaan ini boleh dilipat ke atas dan ia boleh bergerak dengan mudah di jalan raya dan menggunakan segelen minyak untuk perjalanan 56 kilometer.
Bagaimanapun, sebelum boleh mengendalikan pesawat ini, anda perlu mendapatkan lesen juruterbang sukan yang boleh diperoleh dengan menjalani latihan penerbangan selama 20 jam.
Kepada siapa yang berminat, anda boleh melakukan tempahan dengan meletakkan wang pendahuluan sebanyak RM31,000 untuk kereta terbang yang dianggar akan dijual dalam lingkungan harga RM600,000 dan RM900,000 ini.
Kapal selam peribadi
Jika anda tinggal berhampiran dengan di sebuah pulau atau berhampiran dengan pantai, tentu anda inginkan sebuah kapal selam peribadi yang boleh digunakan bila-bila masa anda ingin menyelam atau mengunjungi pulau atau pantai yang lain.
Kapal selam berbentuk katamaran buatan syarikat U-Boat Worx dari Belanda ini boleh memuatkan enam penumpang dan mempunyai dinding lutsinar yang membolehkan anda menikmati pemandangan di dalam laut di sekeliling kapal selam anda.
Kapal U-Boat (undersea boat) keluaran Worx ini terbahagi kepada dua model iaitu C-Quester dan C-Explorer yang mana mempunyai pelbagai ciri-ciri lebih menarik. Setiap model pula mempunyai beberapa versi yang bermula dari kemampuan membawa dua penumpang sehingga lima penumpang.

Comments

Popular posts from this blog

Malaysia expects more than RM1.3 billion revenue from healthcare tourism in 2017

Sifat marah cermin jiwa tidak tenteram

Kelantan MB discharged from hospital